Pilihanraya Kampus – Asas Kepimpinan…

Islam telah meletakkan persoalan kepimpinan sebagai satu persoalan pokok dalam ajarannya. Kepimpinan yang berwibawa menjadi faktor utama ke arah maju mundurnya rakyat atau orang di bawah kepimpinannya dan negara atau sesuatu kawasan yang di bawah kepimpinannya. Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk melahirkan kepimpinan yang diredhai Allah, yang mampu menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

Sejarah Islam telah membuktikan kepentingan ini selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., di mana para sahabat telah memberi penekanan dan keutamaan dalam melantik pengganti baginda memimpin umat Islam. Umat Islam tidak seharusnya dibiarkan tanpa pemimpin. Saidina Umar r.a. pernah berkata,

“Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa taat”

PENGERTIAN KEPIMPINAN

Sebelum kita pergi lebih jauh, ada baiknya kita melihat dahulu definisi kepimpinan agar semua calon-calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang terlibat memahami dengan lebih jelas siapakah mereka jika memenangi kerusi MPP ini. Definisinya adalah seperti berikut:

“Kepimpinan adalah suatu peranan dan proses mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah sebahagian daripada ahli kumpulan yang diberi kedudukan tertentu dan dijangka bertindak sesuai dengan kedudukannya. Pemimpin juga seorang ahli dalam kumpulan yang diharapkan menggunakan pengaruh dalam melaksana dan mencapai matlamat kumpulan. Pemimpin yang amanah ialah seorang yang memimpin dan bukan seseorang yang menggunakan kedudukan untuk memimpin.”

KEPIMPINAN MENURUT ISLAM

Kepimpinan menjadi tunggak kepada tertegaknya Islam di muka bumi dan kemaslahatan umat. Kepimpinan Islam adalah natijah daripada keimanan dan amal soleh. Seorang pemimpin yang mementingkan diri, kedudukan, kebendaan, jawatan dan sebagainya bukanlah daripada pimpinan Islam sebenar walaupun dilabelkan dengan nama Islam.

Kepimpinan dalam Islam merupakan usaha menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang manusia daripada keburukan. Kepimpinan adalah bagi mereka yang layak dan berhak sahaja. Dianggap telah melakukan satu pengkhianatan terhadap agama apabila diangkat seorang pemimpin yang tidak layak. Rasulullah s.a.w. telah memberi peringatan dengan sabda baginda:

“Sesiapa yang melantik seorang lelaki sebagai pemimpin untuk sesuatu golongan, sedangkan di kalangan mereka masih ada orang lain yang lebih diredhai oleh Allah daripada lelaki itu, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan mengkhianati seluruh umat Islam.”

Kepimpinan Rasulullah s.a.w. merupakan contoh terbaik dalam menghayati nilai-nilai kepimpinan. Baginda telah meletakkan kepentingan umat Islam mengatasi segala kepentingan diri dan keluarga. Sifat-sifat kepimpinan yang dihayati dan ditonjolkan baginda telah menjadi ikutan para pengikutnya di sepanjang zaman dan setiap generasi. Al-Quran telah menjelaskan:

KEPIMPINAN BUKAN SATU KEMULIAAN

Kepimpinan yang dimiliki oleh seseorang adalah satu amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Rabbul Jalil di Akhirat nanti. Oleh sebab inilah maka ia bukanlah satu kemuliaan (tasyhrif) tetapi lebih merupakan satu bebanan (taklif) amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh kesempurnaan.

Menyedari hakikat inilah maka tidak sepatutnya seseorang itu berusaha untuk mendapatkan kepimpinan dan jawatan ini, kecuali dalam suasana yang dibenarkan oleh syarak. Rasulullah s.a.w. telah member peringatan dengan sabdanya:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua akan ditanya terhadap apa yang kamu pimpin.”

Para Khulafa’ al-Rasyidin sendiri merasakan diri mereka bukanlah orang yang paling layak untuk memimpin. Mereka memahami bahawa tanggungjawab kepimpinan adalah satu amanah besar daripada Allah S.W.T. Maka tidak hairanlah jika ada di kalangan mereka yang sanggup dimuhasabah walaupun dengan mata pedang.

Pernah dua orang sahabat datang berjumpa Rasulullah s.a.w. seperti yang diceritakan oleh Abu Musa di mana salah seorang daripada mereka meminta diagihkan beberapa jawatan kepimpinan untuknya lalu Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya:

“Demi Allah! Sesungguhnya kami tidak akan menyerahkan (melantik) seseorang yang memintanya (meminta jawatan itu) atau seseorang yang begitu prihatin untuk menjawatnya bagi melaksanakan tugas ini.

(Riwayat al-Khashikhan)

Di sini dapat difahami bahawa kepimpinan bukanlah satu perkara yang boleh diminta-minta untuk dipikul tanggungjawabnya oleh seseorang tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak. Ia bukan satu kemuliaan yang harus dibanggakan.

CIRI-CIRI PEMIMPIN ISLAM

Pemimpin dalam Islam dikira sebagai penggerak utama untuk maju dan bergerak ke hadapan bagi orang-orang yang dipimpinnya. Bagi memenuhi tuntutan ini seseorang pemimpin mestilah mempunyai beberapa ciri:

1. Setia (Wala’)

Pemimpin dan pengikut terikat dengan wala terhadap Allah S.W.T.

2. Matlamat Islam yang menyeluruh (global)

Pemimpin melihat matlamat organisasi bukan saja berdasarkan kehendak kumpulan tetapi dalam skop objektif Islam yang luas.

3. Mengikut Syariah dan Akhlak Islamiah

Pemimpin terikat dengan peraturan-peraturan Islam dan boleh terus memegang amanah kepimpinan selagi mana boleh mengikut perintah syariah. Semasa mengendalikan tugas dan tanggungjawab, dia mestilah mengikut adab-adab Islam terutamanya semasa berhadapan dengan musuh.

4. Memberi Thiqah

Pemimpin menerima kuasa sebagai amanah daripada Allah yang disertai tanggungjawab yang besar. Para pemimpin disuruh oleh Allah S.W.T. supaya melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Allah S.W.T. dan menunjukkan kebaikan kepada para pengikutnya.

PRINSIP ASAS KEPIMPINAN ISLAM

Tiga perkara asas yang mengawal perjalanan kepimpinan Islam ialah:

1. Syura

Ia merupakan prinsip pertama dalam kepimpinan Islam. Para pemimpin Islam wajib melaksanakan syura dengan orang yang dapat memberikan pandangan yang baik.

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

(Surah as-Syura: 38)

Pelaksanaan syura ini menjadi asas dalam melaksanakan keputusan. Syura juga berfungsi sebagai tempat menyelia tindakan pemimpin agar tidak terkeluar daripada garis panduan seorang pemimpin dalam menjalankan tugasnya. Pemimpin sudah tentu tidak wajib melaksanakan syura dalam semua perkara.

Perkara-perkara biasa hendaklah dihadapi dengan cara dan kaedah yang lain. Perkara biasa dan perkara yang melibatkan perancangan dan polisi hendaklah dibezakan serta dijelaskan oleh ahli-ahli terlibat mengikut saiz, keperluan, sumber manusia, dan suasana yang memerlukan dan mendesak.

Pemimpin mestilah mengikut dan melaksanakan keputusan yang dibuat dalam lingkungan syura. Dia hendaklah mengelakkan diri daripada bermain dengan kata-kata yang menonjolkan pendapatnya atau mengubah keputusan yang diputuskan oleh syura.

Secara umumnya, panduan untuk memahami perjalanan kegiatan syura ini adalah seperti dibawah:

Pertama:

Hal pentadbiran dan pengurusan hendaklah dikendalikan oleh pemimpin

Kedua:

Urusan yang memerlukan keputusan yang pantasdan segera hendaklah ditangani oleh pemimpin dan dibentangkan kepada jamaah mesyuarat atau melalui telefon persidangan.

Ketiga:

Ahli-ahli atau wakil mereka hendaklah mampu memeriksa dan mempersoalkan tindakan pemimpin secara bebas tanpa mempunyai perasaan malu.

Keempat:

Dasar-dasar yang hendak diambil, objektif jangka panjang dan keputusan yang penting mestilah dibuat oleh wakil yang dipilih dalam suatu proses syura yang besar.Perkara ini tidak boleh diserahkan kepada pemimpin sahaja.

2. Adil

Pemimpin hendaklah berlaku adil dalam menjalankan tugasnya tanpa melihat kepada bangsa, warna kulit ataupun agama. Sifat-sifat buruk seperti dendam, hasad dan sebagainya bukan menjadi sifat pemimpin Islam.

Walaupun terhadap orang yang dibencinya namun tidak menghalangnya melakukan keadilan dan memberi hak yang saksama terhadap orang yang dipimpinnya. Allah telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Maidah : 8)

Dalam Islam kebenaran dan keadilan adalah antara unsur yang mesti diberi penekanan dan tidak boleh bertolak ansur dengannya. Kebenaran tidak boleh dijual beli dengan harta benda dunia dan kedudukan serta dianggap pengkhianat agama bagi sesiapa yang tidak mementingkan kebenaran dan keadilan.

Firman Allah S.W.T. tentang kepentingan keadilan ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاء لِلّهِ وَلَوْ عَلَى أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقَيرًا فَاللّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلاَ تَتَّبِعُواْ الْهَوَى أَن تَعْدِلُواْ وَإِن تَلْوُواْ أَوْ تُعْرِضُواْ فَإِنَّ اللّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibubapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar-balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan”

(Surah al-Nisa’ 4:135)

3. Bebas Memberi Pandangan

Pemimpin Islam mestilah menyediakan ruang yang membolehkan orang yang dipimpinnya bebas memberi pandangan dan idea yang membina. Peluang diberikan sepenuhnya kepada orang yang dipimpin menyampaikan pandangan secara bebas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan.

Kedudukan sebagai seorang pemimpin bukan menjadi halangan untuk menjelaskan kebenaran. Inilah yang menjadi amalan umat pimpinan Khulafa al- Rasyidin yang sanggup menegur peminpin dengan amaran mata pedang jika pemimpin mereka melakukan kesilapan.

Tegasnya, kepimpinan Islam bukanlah satu bentuk kepimpinan yang zalim. Islam mewajibkan seseorang pemimpin mesti bersikap adil, berunding dan sentiasa hormat menghormati antara pemimpin dan yang dipimpin.

Seseorang pemimpin bertanggungjawab bukan sahaja kepada para pengikutnya tetapi yang lebih berat ialah tanggungjawab terhadap Allah S.W.T.

PENYEMPURNAAN AMANAH KEPIMPINAN

Dalam melaksanakan tanggungjawab kepimpinan Islam, banyak perkara yang perlu diambil kira demi menjamin kesempurnaan amanah kepimpinan. Antara perkara yang mesti dilaksanakan ialah:

1. Memilih yang Lebih Sempurna (Aslah) atau Paling Layak.

Apabila terdapat beberapa orang yang memenuhi syarat dengan sepenuhnya untuk sesuatu tugas atau menyempurnakan amanah, maka hendaklah dipilih orang yang lebih sempurna iaitu yang ‘aslah’ atau yang paling layak.

Prinsip ini berdasarkan tindakan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah menyerahkan kunci Ka’abah kepada Bani Syaibah kerana mereka lebih layak (aslah) untuk tugas tersebut.

Memilih yang paling layak ini merupakan satu kewajipan dan kemestian. Perlantikan pemimpin yang dibuat atas dasar hubungan kasih sayang atau ikatan kekeluargaan bererti satu pengkhianatan terhadap Allah S.W.T., Rasul-Nya dan kaum muslimin.

2. Memilih yang Lebih Baik (Amthal)

Jika tidak terdapat calon yang layak memenuhi sesuatu tugas maka hendaklah dipilih calon yang lebih hampir dalam memenuhi syarat. Ini bermakna memilih yang terbaik di kalangan calon yang ada. Hal ini hendaklah dibuat dan diusahakan secara sungguh-sungguh. Perlu diperingatkan bahawa semua jawatan yang mempunyai kekuasaan ialah:

a. Al-Quwwah

b. Al-Amanah

Kedua-duanya merupakan rukun kelayakan bagi sesuatu tugas.

Quwwah

Maksudnya di sini ialah kekuatan dalam pengertian yang luas. Bukan sekadar kekuatan tubuh badan tetapi lebih luas daripada itu. Ini bergantung pada bidang tugas dan pekerjaan yang dipikul. Sebagai contoh, quwwah bagi kepimpinan ketenteraan ialah mempunyai sifat keberanian, pengetahuan dan mengetahui tipu

daya serta selok-belok ketenteraan dan peperangan, mampu berhadapan dengan musuh dan memimpin bala tentera.

Quwwah dalam menghukum pula ialah kemampuan dari sudut ilmiah yang tinggi sehingga boleh menghukum dengan adil dan saksama berdasarkan al- Quran dan al-Sunnah. Juga berkemampuan untuk melaksanakan hukum.

Amanah

Maksudnya di sini ialah takut kepada Allah S.W.T., tidak menjual ayat-ayat Allah S.W.T. dengan harga yang murah dan tidak takut kepada manusia. Inilah tiga ciri bagi sifat-sifat amanah yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Apa yang perlu diberi perhatian ialah berlaku kesulitan mendapatkan kombinasi antara Amanah dan Quwwah ini.

Kombinasi dua sifat ini bagi satu peribadi adalah agak sulit. Imam Ahmad pernah ditanya mengenai dua orang yang akan menyertai serangan. Terdapat seorang yang kuat tetapi fajir (jahat) dan seorang lagi soleh tetapi lemah. Imam Ahmad telah menjawab bahawa sesungguhnya yang kuat tetapi fajir itu lebih memberi kekuatan kepada kaum muslimin, sedangkan yang soleh tetapi lemah itu kesolehannya adalah untuk dirinya sendiri sedangkan kelemahannya merugikan kaum muslimin, maka berperanglah bersama yang kuat walaupun fajir.

Prinsip ini penting di mana jika tidak ada calon yang memenuhi syarat quwwah dan amanah ini, maka hendaklah dilihat kepada kemampuan dan kepakaran yang mana lebih mendatangkan manfaat dan mengurangkan mudharat bagi kaum muslimin.

Tegasnya kemampuan, kecekapan dan kepakaran yang diperlukan bagi mengisi jawatan itu adalah diutamakan iaitu meletakkan orang yang sesuai untuk tugas yang sesuai. Dalam mengenalpasti calon yang lebih layak dan pelaksanaannya perlu dipastikan apakah tujuan jawatan tersebut.

Ini bermakna, jawatan tersebut hendaklah dipastikan tujuan, tugas, bidang kuasa seseorang itu dilantik untuk mengisinya. Selepas itu, hendaklah diketahui dan dipastikan cara pemilihan dan perlantikan bakal pemegang jawatan tersebut. Jika telah dapat dipastikan tujuan dan cara, maka sempurnalah urusan.

KESIMPULAN

Itu sahajalah sedikit-sebanyak yang saya boleh kongsikan. Terpulanglah kepada semua untuk menilai calon-calon manakah yang terbaik untuk dipilih. Pilihlah yang didasarkan kepada cirri-ciri yang telah ditetapkan bukan disebabkan oleh assobiah kawan-kawan walaupun tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik.


RUJUKAN

1. Hisham Altalib 1992. Panduan Latihan Bagi Petugas Islam. Kuala Lumpur: Nurin Interprise.

2. Abdul W ahab Zakaria 1994. Konsep Kepimpinan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Percetakan MICO(M) Sdn.Bhd.

3. Mahmud Saedon Hj. Othman 1996. TeoriPentadbiran Islam Menurut Ibn Taimiyyah.Pengurusan Dalam Islam. Penyelenggara – Abd. Halim El-Muhammady. Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah.

4. Mustafa Masyhur 1986. Baina al-Qiadah wa al-Jundiah ala Thariq al-Dakwah. Kaherah: Dar al-Tauzie wa al-Nashr al-Islamiah.

5. Razali Mat Zin 1991. Kepimpinan Dalam Pengurusan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

6. Sohair Abdel Moneim Sery 1990. Konsep Pengurusan Pentadbiran Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

~ by umarmujahid on October 18, 2008.

2 Responses to “Pilihanraya Kampus – Asas Kepimpinan…”

  1. apa pendapat anda tentang kepimpinan negara kita yg ada hari ni,maksud ana,adakah mereka mengamalkan(sistem wala’) dalam saf kepimpinan mereka??

  2. mungkin pandangan ana ni,simple jek ope dpt mmbantu,klau ingin tau lanjut blhla send email k..
    bg ana, tuk soaln tu trlampau sbjektif utk djwab.
    -bg konsep wala’ (taat’), kata saidina abu bakr, klau x silap ana pernah berkata.’taatla pada ku selagi aku mengikut alquran dan assunnah,dan sebaliknye’ dari situ konsep wala ni perlu ada..tp pemimpin kita zaman skrg, yg sedia ada ni, al quran dan assunnah diketepikan, bg ana x perlula konsep wala’ ni dijalankan..tukarlah dan carilah pemimpin yg lebih layak, kepimpinan yang lebih mantap seperti ape yg telah dibincangkan di atas..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: